ISU aktor gandingan berstatus suami orang adakala menjadi satu keresahan buat segelintir aktres bujang.
Bagi mereka, harus ada batas ‘ekstra’ perlu dijaga berbanding jika regu lakon berstatus bujang. Masakan tidak, kontroversi dan cinta lokasi antara Aliff Aziz dan dan Ruhainies sebelum ini banyak meninggalkan skeptikal kepada umum.
Berbeza pula dengan si cantik, Anna Jobling. Baginya, perkara tersebut bukan satu masalah selagi tahu menjaga profesionalisme.
“Tiada istilah takut berlakon dengan suami orang. Sebelum ini pun saya pernah bergandingan dengan lelaki berstatus suami.
“Jangan buat situasi jadi rumit, kalau kita tahu jaga batas, pasti tak akan timbul masalah.
“Dengan Shukri atau mana-mana pelakon lelaki lain sekali pun, kalau ‘off camera’, kami memang buat hal masing-masing,” katanya yang bakal muncul di sisi Shukri Yahaya menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah tidak lama lagi.
Meskipun tidak cerewet dengan hero gandingannya, pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abd. Rahman Jobling bagaimanapun tetap teliti, khususnya apabila melibatkan babak intim.
Tegas pelakon berusia 24 tahun itu, dia tidak akan melakonkan babak intim secara semberono kerana bimbang disalah tafsir penonton.
Jika terlalai, perkara tersebut boleh mencetuskan spekulasi liar.
“Kalau nak cakap tentang isu babak intim atau ekstra romantis, selalunya saya akan berbincang terlebih dahulu dengan pelakon atau pengarah.
“Setiap pelakon akan sentiasa berkomunikasi bagi membincangkan setiap kebimbangan atau perkara yang selesa dilakukan dalam mana-mana babak,” tuturnya.
Dalam masa sama, Anna mengakui tiada masa untuk menjalin hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki disebabkan kepadatan jadual.
Selain jadual kerja, keletihan berulang-alik dari Malaysia ke Indonesia merupakan antara faktor dia tidak sempat memikirkan soal cinta.
“Saya terlalu sibuk dan penat ulang-alik ‘travel’ ke sana sini. Mungkin juga saya bekerja terlalu keras.
“Kalau hari cuti pun, saya hanya duduk di rumah, habiskan masa dengan keluarga. Keluar bersama kawan juga memang jarang,” kongsinya.
Ditanya sama ada wujud perasaan takut untuk bercinta, pemilik nama sebenar Anna mengakui ada terdetik rasa sebegitu.
“Takut untuk ada kekasih? Bimbang juga. Kalau saya ada (kekasih) sekali pun sekarang, mungkin saya ‘simpan’ dan tidak tunjuk (perkenalkan).
“Cuma, buat masa sekarang, kekasih saya adalah kerja dan hanya di set penggambaran sahaja,” katanya lagi.
Tidak lengkap sekiranya temu bual bersama Anna tanpa memintanya berkongsi perkembangan kerjaya di Indonesia.
Perkara itu terbukti apabila namanya semakin meledak di sana selepas dihujani apabila ditawarkan berlakon beberapa filem termasuk Laut Tengah dan Lembayung.
“Tiada kata-kata yang boleh saya ungkapkan mengenai karier seni ketika ini, hanya syukur Alhamdulillah.
“Awal tahun ini memang saya banyak habiskan masa jalani penggambaran di sana tetapi kini kembali fokus dengan lakonan di Malaysia,” ujarnya lagi.
Berkongsi penerimaan peminat di Indonesia, Anna bersyukur kehadirannya disambut baik malah sehingga hari ini dirinya masih dipanggil dengan nama Melur selepas meledak menerusi drama Melur Untuk Firdaus sekitar 2022.
“Saya okey sahaja kalau mereka nak terus panggil Melur. Memang tak nafikan bahawa kebanyakan peluang yang saya raih di Indonesia hari ini pun disebabkan drama itu.
Menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah arahan Eoon Shuhaini pula, selian Shukri, Anna turut digandingkan dengan Niezam Zaidi.
“Kali pertama dapat berlakon dengan Shukri Yahaya dan Niezam. Memang mencabar kemampuan saya untuk mencari ‘chemistry’ dengan mereka.
“Saya tak nafikan berdebar juga sebenarnya berlakon dengan Shukri tetapi syukur dia sangat ‘sporting’ dan bersahaja. Begitu juga Niezam, seorang yang profesional bekerja.
“Bukanlah rasa takut berlakon dengan mereka tetapi lebih kepada gementar sebab Shukri dan Niezam pelakon senior yang sangat berpengalaman,” kongsinya yang memegang watak Cahaya dalam drama tersebut.