MANAGUA – Penduduk sebuah kejiranan di rantau Amerika Tengah hidup dalam ketakutan selepas diganggu makhluk mistik berupa monyet jadian dikenali sebagai ‘Mona Bruja’, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kejiranan di Diriamba, Nicaragua.
Menurut laman berita Coast to Coast, Mona Bruja dikenali kerana keupayaannya untuk bertukar menjadi monyet bermata merah dan bersuara nyaring.
Monyet jadian itu dilihat melompat dari bumbung ke bumbung kediaman penduduk di kejiranan Roberto Clemente, Diriamba.
Seorang penduduk tempatan berkata, dia mendengar bunyi ketukan pelik pada dinding rumahnya diikuti bunyi sesuatu yang melintas seperti kilat di bilik kediamannya, baru-baru ini.
Penduduk percaya monyet itu berasal daripada manusia yang mengamalkan ilmu hitam.
Satu insiden serupa mencetuskan kegemparan di Nicaragua tahun lalu apabila penduduk Granada mendapati batu-batu menghujani rumah mereka.
Beberapa kes histeria juga dikaitkan dengan penampakan Mona Bruja.
Dalam insiden di Granada itu, penduduk membentuk sebuah kumpulan untuk memburu makhluk paranormal itu.
Bagaimanapun apabila mereka berjaya mengepungnya orang ramai mendapati hantu itu cuma seorang remaja yang cuba menakut-nakutkan mereka. – AGENSI