GUA MUSANG – Kehidupan tenteram 500 penduduk Orang Asli di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini bertukar resah selepas mereka menemui beberapa kesan tapak kaki harimau belang sejak beberapa hari lalu.
Lebih membimbangkan apabila mereka terdengar bunyi ngauman harimau pada pukul 12 tengah malam kelmarin di sekitar penempatan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Bihai, Pelinejon Assut berkata, kesan tapak kaki itu ditemui seorang penduduk ketika dalam perjalanan untuk ke kebun pisang pada pukul 12 tengah hari.
“Dia terkejut sebelum memaklumkan mengenai perkara itu kepada saya. Kami kemudian bergegas ke lokasi tetapi tidak dapat dipastikan jenisnya kerana belum lihat kelibatnya dengan mata sendiri.
“Saya hanya rakam video dan gambar tapak kaki sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Pelinejon, kali terakhir kampung mereka dimasuki harimau itu kira-kira setahun lalu.
Tambahnya, harimau belang pernah masuk ke kampung, namun ia hilang masuk ke hutan berhampiran tidak lama kemudian.
“Selepas setahun, kini kesan tapak kaki muncul semula selain kami sering terdengar salakan anjing pada waktu malam,” katanya yang telah membuat laporan kepada Perhilitan.
Itam Busu, 45, pula berkata, penduduk kini ketakutan dan tidak berani untuk ke kebun secara sendirian.
Katanya, kemunculan haiwan liar itu memberi ancaman terhadap nyawa penduduk setempat dan haiwan peliharaan mereka.
“Kami kerap berdepan dengan ancaman harimau belang dan gajah liar yang bebas berkeliaran di kawasan perkampungan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.