PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac tetap menghamburkan pujian kepada pemainnya walaupun terpaksa berpuas hati seri tanpa jaringan dengan Sri Pahang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Sebelum perlawanan, Kuljanac berdepan kesukaran kerana hilang beberapa tonggak utama seperti Brendan Gan, Ryan Lambert dan Lazar Sajcic, namun pemain-pemain yang diturunkan membuktikan kualiti masing-masing.
“Kami memperoleh beberapa situasi, namun sering digagalkan oleh sentuhan penyudah. Bagi saya kedua-dua pasukan berhak untuk dapat keputusan seri dan kami perlu berpuas hati kerana saya ada masalah untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik.
“Bukan senang untuk bermain menentang Sri Pahang dan cari pengganti Ryan, Brendan dan Lazar. Untuk teruskan kemenangan seperti sebelum ini, kami kena ada skuad yang lebih besar,” katanya.
Di sebalik berita kurang enak membabitkan tunggakan gaji dan hutang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kekuatan mental pemain sekali lagi menjadi nadi utama buat KL City apabila kekal tanpa kalah dalam tiga aksi terakhir.
Bagaimanapun, Kuljanac turut mempertahankan pemainnya yang dilihat mula bermain secara bertahan di hujung permainan dan melabel tindakan itu lebih kepada psikologi untuk mengelak daripada bolos saat akhir.
“Adakalanya saya boleh menjerit di tepi padang tetapi pemain dalam padang menentukan cara bermain. Mungkin mereka tidak mahu bolos seperti lawan Kuching City tetapi bagus untuk menamatkan perlawanan ini tanpa bolos,” katanya.