fbpx

Pejabat, bank ditutup akibat cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail bertarikh 11 Julai 2023 menunjukkan seorang lelaki menuang air ke atas kepalanya ketika cuaca panas di Tehran. - AFP

TEHRAN – Gelombang haba yang melanda Iran menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengurangkan waktu operasi di pelbagai kemudahan semalam, lapor akhbar The Guardian.

Semua institusi kerajaan dan komersial turut diarah tutup hari ini ketika hospital-hospital menerima lebih 200 pesakit untuk mendapatkan rawatan akibat strok haba.

Suhu di bandar ibu negara, Tehran dilaporkan berada pada paras antara 37 darjah Celsius hingga 42 darjah Celsius, demikian menurut laporan cuaca.

Agensi berita IRNA berkata, bank, pejabat dan institusi awam di seluruh negara ditutup untuk melindungi kesihatan orang ramai, kecuali agensi perubatan.

Jurucakap Jabatan Kecemasan Iran, Babak Yektaparast memberitahu agensi berita Mehr bahawa 225 orang telah mendapatkan rawatan perubatan untuk strok haba, manakala sejumlah lagi dimasukkan ke hospital.

Seorang pegawai Pertubuhan Meteorologi Kebangsaan, Sadegh Ziaian seperti dipetik oleh Mehr sebagai berkata, suhu melebihi 45 darjah Celsius dicatatkan di 10 wilayah Iran semalam.

Sadegh menambah, penurunan suhu dijangka berlaku pada hari ini tetapi memberi amaran bahawa ia tidak bermakna cuaca akan menjadi sejuk.

Media Iran menasihatkan orang ramai untuk berada di dalam rumah sehingga pukul 5 petang (waktu tempatan). 

Pihak berkuasa berkata, penggunaan elektrik mencapai paras rekod 78,106 megawatt pada Selasa lalu berikutan penggunaan kipas dan penyaman udara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI