PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Perak dan Kedah selama tiga hari bermula esok hingga Rabu ini untuk meningkatkan paras air Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah bagi tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, OPA dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
Jelasnya, pelaksanaan operasi itu dengan penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
“Usaha ini adalah salah satu dari usaha kerajaan untuk menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September ini.
“MetMalaysia menjangkakan taburan hujan di negeri Kedah dan Perak yang rendah sehingga September ini. Bekalan air dari empangan Muda di alirkan ke empangan Pedu bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi (Musim 1/2024),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, semasa permulaan musim tanaman padi di sekitar Sungai Muda akan berlaku konflik di antara keperluan domestik, industri dengan pengairan padi.
“Keutamaan akan diberikan kepada keperluan domestik dan industri.
“Kekurangan turunan hujan mengakibatkan takungan simpanan terus menyusut seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Katanya, menurut laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada Jumaat lepas, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah pada 15.25 peratus.
“Selaku Pengerusi Bencana Pusat, saya bersetuju bahawa pelaksanaan OPA ini dibuat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE