PARIS – Tuan rumah Perancis berjaya meraih pingat emas pertama mereka dalam acara ragbi tujuh sebelah (7’s) lelaki selepas melakar kejutan hebat mengatasi juara dua kali, Fiji pada final Sukan Olimpik Paris 2024 awal pagi semalam.
Bintang ragbi dunia, Antoine Dupont diangkat sebagai wira selepas mencetuskan inspirasi buat Les Bleus untuk meraih kemenangan bersejarah 28-7 ke atas Fiji pada final di Stade de France itu.
Kemenangan itu sememangnya menyemarakkan semangat kontinjen Perancis untuk memburu lebih banyak pingat emas pada edisi kali ini.
Dupont yang dianggap pemain terbaik dunia bagi acara ragbi 15’s mempamerkan persembahan luar biasa pada separuh masa kedua dengan melakukan dua try untuk mengatasi Fiji.
“Ia satu ganjaran besar buat kami, negara ini dan juga komuniti ragbi seluruh dunia. Kami benar-benar rasakan kami bukan hanya mewakili ragbi tetapi seluruh sukan Perancis.
“Kami amat bangga dapat memulakan Olimpik dengan keputusan positif seperti ini,” kata Dupont.
Penampilan Dupont di Olimpik Paris mencetus sensasi apabila dia memilih untuk tidak beraksi pada Kejohanan Enam Negara kerana mahu memberi tumpuan memburu pingat emas buat negara itu dan ternyata pertaruhannya amat berbaloi.
“Sudah pasti kemenangan yang kami capai ini menakjubkan dan ia satu hadiah besar buat kami serta semua rakan sepasukan berhak mendapatnya,” kata Dupont.
Perancis pada awalnya ketinggalan satu try kepada Fiji tetapi bangkit mengikat 7-7 sebelum kemasukan Dupont di babak kedua berjaya menghasilkan dua try untuk membantu tuan rumah itu menafikan hajat Fiji memenangi pingat emas buat kali ketiga berturut-turut.
Pingat gangsa acara itu dimenangi Afrika Selatan selepas menewaskan Australia 26-19 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat kelmarin. – AGENSI