KUALA LUMPUR – Perjuangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk memburu tempat ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 terus terbuka apabila mereka bangkit mencatat kemenangan ke atas beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara sebentar tadi.
Pada aksi Kumpulan A di Porte de la Chapelle Arena tersebut, beregu negara itu berjaya menebus kekecewaan tewas pada perlawanan pertama ke atas gandingan No. 1 dari China semalam dengan mempamerkan kebangkitan luar biasa ketika berdepan pemain Jepun tersebut.
Biarpun agak bergelut di set pertama, namun Pearly-Thinaah berjaya mengheret permainan sehingga ke rubber set sebelum menang 18-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh 77 minit.
Selepas ini, beregu wanita negara itu perlu bermain dengan baik apabila mereka akan berdepan gandingan terbaik Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk layak ke pusingan suku akhir.
Ia tidak mudah kerana Apriyani turun dengan status selaku juara bertahan selepas memenangi pingat emas edisi Tokyo 2020 bersama Greysia Polli yang kini bersara dan menyebabkan dia membentuk gandingan dengan Siti Fadia sejak Mei 2022. – KOSMO! ONLINE