fbpx

Olimpik Paris: China mahu sapu bersih acara terjun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YIWEN (kanan) dan Yani tiada masalah untuk meraih pingat emas 3m papan anjal seirama wanita biarpun kali pertama turun beraksi di Olimpik. - AFP

PARIS – Penerjun China, Chen Yiwen dan Chang Yani memulakan usaha China untuk merangkul kesemua lapan pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas memenangi acara tiga meter (m) papan anjal seirama di Pusat Akuatik Paris semalam.

Biarpun ini kali pertama beraksi di pentas Olimpik tetapi kejayaan mereka sudah dijangka berdasarkan status sebagai juara dunia apabila berjaya meraih 337.68 mata, menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Sarah Bacon dan Kassidy Cook (314.64 mata).

“Secara peribadi, saya tidak begitu gementar kerana kami telah memahami proses keseluruhan pertandingan. Saya gembira dan berpendapat kejayaan ini akan membantu kami dalam acara individu pada 9 Ogos nanti,” kata Yiwen.

Begitupun, penerjun berusia 25 tahun berasal dari Hainan itu mengakui kejayaan tersebut tidak diraih dengan mudah terutama dari segi teknik memandangkan dia jauh lebih berat daripada Yani yang memerlukan mereka menyesuaikan diri dengan perbezaan tersebut.

“Sokongan yang kami terima sangat penting. Begitu juga dengan latihan. Semua jurulatih kami juga penting kerana mereka memberi kami banyak nasihat. Kami amat memerlukan antara satu sama lain untuk berada pada tahap yang sama,” jelasnya.

Pingat gangsa acara itu dimenangi penerjun Great Britain, Yasmin Harper dan Scarlett Mew Jensen selepas memungut 302.28 mata.

Mereka meraih kejayaan itu dengan penuh dramatik apabila memintas pasangan Australia, Maddison Keeney dan Anabelle Smith pada terjunan terakhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN