BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan melangkah ke pentas suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mudah menewaskan pasangan ranking No. 32, Dong Adam-Nyl Yakura dari Kanada sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena tersebut, bekas juara dunia itu menampilkan perlawanan cukup agresif apabila menundukkan lawannya itu menerusi kemenangan straight-set 21-10, 21-15 dalam tempoh 39 minit sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada aksi peringkat Kumpulan A.
Kelmarin, bekas juara dunia itu mempamerkan aksi yang membimbangkan apabila bergelut untuk mengatasi pasangan No. 18 dunia, Sean Vendy-Ben Lane dari Great Britain dalam pertarungan sengit yang diheret sehingga ke rubber-set 19-21, 21-16, 21-11.
Selepas ini, Aaron-Wooi Yik bakal diuji sepenuhnya apabila mereka akan berdepan beregu No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam perlawanan terakhir untuk menentukan kedudukan sebagai juara dan naib juara Kumpulan A.
Atas kertas, beregu No. 4 dunia itu mempunyai kemampuan untuk menundukkan gandingan China itu apabila sebelum mereka berdua pernah menewaskan gandingan China itu di Piala Thomas pada Mei lalu. – KOSMO! ONLINE