PETALING JAYA – Nestle Malaysia Berhad (Nestle Malaysia) mencatat jualan sebanyak RM3.3 bilion bagi separuh pertama tahun 2024 (H1), turun sebanyak lapan peratus berbanding rekod jualan tertinggi yang dicapai pada separuh pertama tahun 2023.
Jualan terkumpul adalah setanding dengan jualan yang kukuh dicapai pada separuh pertama tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, situasi semasa masih mencerminkan sentimen pengguna yang suram dengan daya beli yang terhad, terutamanya akibat inflasi produk makanan dan barangan asas lain.
“Di Nestle Malaysia, kami terus memberi tumpuan menawarkan nilai yang kukuh bagi jenama dan produk yang memenuhi jangkaan seluruh rakyat dan sentiasa menjanjikan kualiti tertinggi menggunakan ramuan yang terbaik.
“Kami juga terus berusaha gigih untuk meningkatkan profil nutrisi produk kami dan usaha kami ini dibuktikan dengan logo pilihan lebih sihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan kepada MILO.
“Kami telah mempelopori beberapa inovasi yang relevan kepada pasaran seperti Kit Kat Dark Borneo, yang diperbuat daripada biji koko dari Sabah dan Sarawak, yang dibeli menerusi inisiatif Koko Borneo Nestlé dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia.
“Kami amat berbangga dengan penglibatan kami dalam bidang pertanian dan terus menyokong usaha menaik taraf kehidupan komuniti peladang tempatan sambil berpeluang menambah penggunaan ramuan tempatan bermutu tinggi yang diperlukan untuk menghasilkan produk-produk kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai trend keuntungan separuh pertama, Aranols menjelaskan, pihaknya menyedari cabaran besar yang dihadapi oleh semua keluarga Malaysia akibat kos makanan tinggi yang disebabkan oleh kenaikan harga komoditi global.
“Sebab itulah kami terus berusaha gigih untuk mengurangkan pemindahan kenaikan kos kepada harga produk akhir kami, dengan menyerap kos setakat mana yang mungkin dan mengurangkan tekanan kos menerusi pelbagai inisiatif, termasuk usaha berterusan untuk mencapai penjimatan dengan sentiasa meningkatkan kecekapan proses dalaman dan penggunaan teknologi digital di seluruh rantaian nilai kami.”
“Meninjau ke hadapan, kami meramalkan persekitaran yang mencabar sepanjang suku ketiga dan secara beransur-ansur sederhana menjelang akhir tahun, dengan pertumbuhan dijangka selewat-lewatnya menjelang suku pertama 2025,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE