PONTIAN – Seorang isteri sanggup berkomplot dengan kekasih gelap yang konon dia diculik bersama tiga orang anaknya untuk meminta wang tebusan sebanyak RM2,000 dalam kejadian Jumaat lalu.
Niat jahat wanita berusia 30-an itu bagaimanapun terbongkar selepas suaminya berusia 41 tahun bertindak bijak apabila terus membuat laporan polis susulan menerima pesanan ringkas ugutan meminta wang tebusan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, susulan itu, polis membuat tangkapan ke atas wanita itu dan teman lelakinya berusia 40-an di dua lokasi berasingan di Kluang, malam kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pada 25 Julai lalu, si suami menghantar isterinya dan tiga anak mereka berusia tiga hingga 12 tahun ke sebuah perhentian bas di Kampung Sepakat Jaya, Pekan Nanas untuk ke Kota Tinggi.
“Si isteri membuat helah kononnya mahu ke rumah ibunya di Kota Tinggi namun sebaliknya pergi ke Kluang untuk berjumpa dengan seorang lelaki dipercayai kekasih gelapnya.
“Si suami cuba menghubungi isterinya namun gagal sebelum menelefon mentuanya bertanyakan keberadaan si isteri dan tiga anak mereka tetapi ibu mentua memaklumkan mereka tiada ke rumahnya.
“Pada 26 Julai, kira-kira pukul 12.14 tengah hari, ketika si suami berada di rumah telah menerima mesej pesanan ringkas daripada nombor yang tidak dikenali meminta wang RM2,000 sekiranya mahu isteri dan anaknya pulang dengan selamat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, wanita itu dan kekasih gelapnya ditahan dan ketika ditahan ketiga-tiga anak mereka turut berada di lokasi.
Menurut Mohammad Shofee, kedua-dua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 30 Julai bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE