fbpx

Hati-hati pilih kereta sewa di Langkawi -JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aedy Fadly (tiga dari kiri) menyampaikan lesen belajar memandu kepada seorang pengguna di JPJ Kedah di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai termasuk pelancong di Langkawi agar memastikan kenderaan yang mahu disewa mempunyai permit sah bagi mengelak sebarang masalah sekiranya berlaku kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, pengguna perlu menyemak secara terperinci sebelum menyewa kerana terdapat aduan berkaitan kenderaan sewa tanpa permit di pulau peranginan itu.

“Risiko kepada pengguna adalah apabila kenderaan-kenderaan sewa tanpa permit ini tidak dilindungi dengan insurans untuk pengguna (penyewa) kerana ia adalah kenderaan persendirian.

“Jadi bagi kenderaan persendirian ini, insurans hanya melindungi orang persendirian iaitu pemilik kenderaan itu sendiri dan juga kepada pemandu. Namun apabila pemilik kenderaan benarkan (sewa) secara tidak sah, ia merisikokan kepada penyewa kerana insurans tak lindungi jika berlaku kemalangan,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Kedah, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengguna agar membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menyewa kenderaan sewa.

“Pengguna boleh pergi ke kaunter-kaunter syarikat berlesen termasuk di lapangan terbang dan jeti untuk mendapatkan kenderaan sewa yang mempunyai permit sah,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan sewa yang tidak mempunyai permit di Langkawi, baru-baru ini dilakukan selepas menerima aduan berhubung perkara itu daripada pengusaha kenderaan sewa yang mempunyai permit sah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, JPJ bersedia sekiranya kerajaan mahu melaksanakan nombor plat khas bagi kenderaan elektrik (EV).

“Menteri (Pengangkutan) akan buat pengumuman dan perincian kepada pelaksanaan tersebut dalam masa terdekat, jadi kita tunggu pengumuman beliau. Kita sedia untuk laksanakan (nombor plat khas) untuk EV dahulu,” tambahnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 1 Julai lalu dilaporkan berkata kementerian bercadang untuk memperkenalkan nombor plat khas bagi EV bagi membezakan kenderaan biasa dengan EV. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI