NEW YORK – Penyokong setia Manchester City kini boleh menarik nafas lega apabila pengurus pasukan, Pep Guardiola memberi bayangan untuk kekal lebih lama di Etihad.
Walaupun nama Guardiola dikaitkan dengan jawatan pengurus England, pengendali yang masih memiliki kontrak setahun saja lagi itu menjelaskan begitu gembira untuk kekal bersama The Citizens.
“Jika kamu menyukai apa yang kamu lakukan, kenapa perlu berhenti? Saya masih gembira dan Manchester City berikan kerja kepada saya,” katanya.
Selepas mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut sebelum ini, Guardiola menimbulkan keresahan peminat apabila mendedahkan beliau begitu hampir untuk meninggalkan pasukan.
Mei lalu, pengurus dari Sepanyol itu menjelaskan dia hampir meninggalkan pasukan sebelum buat keputusan terus kekal bersama City hingga menoktahkan kejuaraan keempat berturut-turut.
“Realitinya saya begitu hampir meninggalkan pasukan. Kami telah berbincang bersama kelab dan perasaan saya mahu kekal dan semasa musim berjalan, kami pasti akan lakukan satu lagi perbincangan,” memetik kenyataan yang pernah dibuat Guardiola sebelum ini.
Selain itu, Guardiola juga pernah menyatakan untuk mendedahkan perancangan masa depannya pada pertengahan musim 2024/25. – AGENSI