LONDON – Manchester United dilaporkan bersedia untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Sporting Lisbon, Morten Hjulmand biarpun perlu berbelanja sebanyak £67.5 juta (RM405.40 juta).
Tumpuan United teralih kepada Hjulmand selepas mereka berdepan kesukaran untuk memeterai perjanjian dengan Paris Saint-Germain bagi mendapatkan khidmat Manuel Ugarte walaupun terma peribadi sudah dipersetujui.
Perkembangan itu menyebabkan United cuba mencari alternatif lain dengan Hjulmand muncul sebagai calon terbaik ketika dia sudah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford selepas pasukan pemantau bakat kelab itu sudah lama mengikuti perjalanan kariernya.
Pemain berusia 25 tahun dipercayai memiliki klausa pelepasan pada nilai berkenaan dan United sedia menggunakan klausa berkenaan sekiranya rundingan untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah tidak berjaya.
Hjulmand turut mendapatkan sokongan kapten United, Bruno Fernandes yang mengakui sangat meminati gaya permainan bintang Denmark berkenaan.
“Saya sangat menggemari cara permainan pemain tengah Sporting. Saya sukakan Hidemasa Morita dan juga Hjulmand. Mereka adalah pemain penting buat Sporting untuk menjadikan mereka stabil di bahagian tengah,” kata Fernandes.
Berdasarkan laporan, PSG kekal dengan pendirian hanya akan melepaskan Ugarte dengan nilai £58.86 juta (RM353.51 juta), namun United menilai pemain itu pada harga yang lebih rendah. – AGENSI