LANGKAWI – “Arwah seorang yang pendiam, namun semalam dia banyak bercakap kerana terlalu seronok apabila hasratnya untuk menyambut hari lahir adik perempuan di Pantai Chenang tercapai”
Menurut Nur Akma Aisyah Azizi, 23, adiknya, Allahyarham Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, kelihatan sangat teruja dengan dia sendiri merancang untuk berkelah di pantai sambil menyambut hari lahir adik perempuan berusia 14 tahun.
“Pada hari kejadian, abang (Muhammad Izzham Hakimie) nampak seronok sangat. Dia jadi banyak cakap, sedangkan biasanya dia senyap sahaja. Arwah yang rancang untuk berkelah, dia juga sempat beli kek untuk adik,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini hari ini.
Katanya, arwah yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang itu juga sangat rapat dengan adik perempuan kerana jarak usia yang dekat.
“Arwah adik lelaki saya itu hilang di laut selepas cuba menyelamatkan adik perempuan yang ditarik ombak besar. Arwah sempat menolak adik ke arah darat sebelum dia hilang daripada pandangan akibat dihanyutkan ombak yang semakin kuat,” ujarnya.
Menurutnya, keadaan adik perempuan dan dua rakan lelaki arwah yang turut lemas kini stabil dengan mereka masih menerima rawatan di wad biasa HSM. – KOSMO! ONLINE