PETALING JAYA – Ahli keluarga Nur Shafila Suaib, 20, merayu kepada orang ramai supaya mendoakan dan membantu mereka bagi mencari wanita hilang tersebut.
Ini kerana menurut salah seorang ahli keluarganya di aplikasi TikTok, seluruh ahli keluarga menanti dengan penuh harapan akan kepulangan Nur Shafila yang lebih mesra dipanggil Memey.
“Baliklah adikku, semua orang risaukan kau, sekarang langsung tidak dapat dihubungi. Apapun masalah kau kami ada untuk kau.
“Kesian mama dan papa hari-hari sebut pasal kau. Tolonglah balik Memey,” tulis Azreen Shuaib.
Azreen yang juga abang Nur Shafila turut menulis satu hantaran bersama gambar adiknya yang dikongsi di platform TikTok.
“Jangan hapus persaudaraan hanya kerana kesalahan, tapi hapuslah kesalahan demi utuhnya persaudaraan,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporka polis mengesan wanita dikenali sebagai Nur Shafila Suaib berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang dengan kali terakhir dilihat di Kampung Sri Malaysia, Kuala Lumpur.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita tempatan itu pada 16 Julai lalu. Mangsa yang bekerja sebagai pengasuh taska di Desa Petaling gagal dihubungi oleh keluarga sejak 15 Julai lepas.
Shafila mempunyai ketinggian 148 sentimeter (cm), berat 45 kilogram (kg), berbadan sederhana kurus, bertudung dan tidak berkaca mata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Balai Polis Salak Selatan Baru, Sarjan Khalik Abdul Wahab di talian 03-79815053 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE