PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berada dalam kelasnya yang tersendiri malah sebenarnya berada dalam kelas dunia.
Fadhlina berkata, keputusan STPM 2023 adalah keputusan terbaik dalam sejarah Tingkatan 6/ Pra Universiti KPM dan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan dilaksanakan untuk terus mengangkat kualiti pendidikan negara.
Katanya, kerja keras para guru dan usaha konsisten pelajar yang tidak pernah kenal putus asa turut menjadi punca kejayaan dalam keputusan STPM tersebut.
“Di sisi yang lain, potensi pendidikan, karakter yang diterjemahkan dalam personaliti dan intelek pelajar -pelajar Tingkatan 6 ini sentiasa mengagumkan saya! Dalam setiap sesi santai bicara dengan mereka, persoalan yang mereka bangkitkan sangat kritis, tajam dan mewakili semangat pendidikan yang luhur.
“Tahun 2025 akan bermula sebuah lagi program Tingkatan 6/ Pra Universiti Premier dengan kerjasama silang kementerian untuk terus memastikan aliran Tingkatan 6/ Pra Universiti KPM ini terus dimartabatkan.
“Ketika awal saya menerajui KPM, antara agenda yang saya beri perhatian penuh adalah mengangkat martabat Tingkatan 6/ Pra Universiti KPM selaras dengan Akta Pendidikan selaras dengan prakarsa reformasi pendidikan dalam negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi. -KOSMO! ONLINE