fbpx

Penternak kambing lega, harimau kumbang masuk perangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Ladang Jalong, semalam.

SUNGAI SIPUT – Kebimbangan pengusaha ternakan kambing dengan serangan harimau kumbang di Ladang Jalong, di sini sejak bulan lalu berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap semalam.

Harimau kumbang jantan dianggarkan seberat 42 kilogram (kg) itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Menurut Ahmad Dani, 41, 15 ekor kambing milik keluarga mertuanya ‘hilang’ dipercayai dibaham haiwan liar itu selain empat ekor anjing yang dibela untuk menjaga ladang turut mati akibat diserang binatang berkenaan.

“Serangan harimau kumbang ini bukan sahaja menyebabkan kami rugi lebih RM10,000, malah untuk pergi jauh dari kandang kambing pun tidak berani,” katanya ketika ditemui di Ladang Jalong, di sini semalam.

Terdahulu, Ahmad Dani yang bekerja di ladang tersebut menyertai orang ramai dalam operasi memindahkan harimau kumbang oleh Perhilitan Perak.

Berkongsi cerita Ahmad Dani berkata, selain harimau kumbang, dia juga pernah melihat kehadiran dua ekor harimau belang tidak jauh dari lokasi dia memotong rumput.

“Kejadian itu baru berlaku, sekitar 5 petang. Saya terkejut dan takut tapi mujur tiada perkara buruk terjadi. Sekarang kalau lepaskan kambing untuk meragut rumput, haiwan itu tidak pergi jauh. Mungkin tahu ada haiwan pemangsa di sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau kumbang itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan pada 20 Jun lalu.

“Harimau kumbang dianggarkan berusia empat tahun yang mengalami kecederaan di muka dan mulut itu akan diberikan rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya,” ujar beliau.

Tambahnya, pemeriksaan juga akan diteruskan di lokasi sekitar selepas pihaknya menerima aduan kehadiran harimau lain di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI