GEORGE TOWN – Pengguna air di Pulau Pinang dinasihatkan agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga musim hujan yang dijangka bermula pada September depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, purata penggunaan air di Pulau Pinang adalah 887 juta liter sehari (JLH).
“Dalam tempoh yang sama tahun lalu, purata penggunaan air adalah 877 JLH. Dalam erti kata lain, penggunaan air di Pulau Pinang telah meningkat secara purata 10 JLH tahun ke tahun,” katanya, di sini hari ini.
Menurutnya, data PBAPP menunjukkan bahawa pengurangan 10 peratus dalam penggunaan domestik di Pulau Pinang tahun ini akan diterjemahkan kepada penjimatan air sebanyak 50 JLH.
“Hujan rendah sejak Januari lalu menyebabkan kapasiti efektif empangan berada pada paras rendah iaitu Empangan Air Itam berada pada tahap 41.1 peratus dan Empangan Teluk Bahang (31.9 peratus), semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE