PARIS – Kontinjen Great Britain (Team GB) membuat keputusan untuk boikot masakan di kafeteria perkampungan sukan kerana masalah kualiti serta kuantiti makan dan menerbangkan chef khas dari London kelmarin.
Sebagai rekod, kafeteria di perkampungan sukan memiliki kemudahan yang boleh menempatkan 3,300 atlet dalam satu-satu masa dengan menyediakan enam hidangan yang berbeza dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, Team GB mendakwa hidangan yang disediakan oleh tuan rumah tidak cukup dan tidak memiliki kualiti yang sesuai untuk barisan atletnya sepanjang kejohanan yang telah bermula secara rasmi semalam.
Ketua Eksekutif Majlis Olimpik Britain, Andy Anson mendedahkan ramai atlet terpaksa mencari makanan dari luar sebelum pihaknya mengambil keputusan untuk menerbangkan chef khas dari London.
“Kita boleh lihat jumlah makanan yang disediakan oleh tuan rumah tidak cukup terutama ayam, telur dan beberapa makanan karbohidrat yang lain. Selepas itu, timbul masalah lain daripada aspek kualiti makanan yang tidak berkhasiat.
“Sebagai contoh, saya menerima laporan hidangan yang disediakan masih mentah dan tidak sesuai untuk atlet kami. Saya harap kualiti makanan yang disediakan bertambah baik selepas ini.
“Buat masa sekarang, atlet kami lebih selesa untuk bungkus makanan dari luar perkampungan sukan dan kita juga mengambil langkah proaktif dengan menerbangkan chef khas dari London untuk keperluan kontinjen sepanjang berada di sini,” katanya. – AGENSI