KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan pasangan dari Singapura Terry Hee-Jessica Tan dengan kemenangan straight set.
Pada aksi di Arena Porte de la Chapelle tersebut, beregu negara memperagakan aksi cukup agresif pada set pertama selepas bangkit mencatat kemenangan 23-21 ke atas pasangan ranking ke-17 dunia dari Singapura tersebut.
Di set kedua, gandingan No. 9 dunia tersebut tidak memberi ruang kepada pasangan Singapura itu untuk bangkit sebelum menewaskan lawannya itu menerusi keputusan 23-21, 21-12 dalam tempoh 44 minit.
Ee Wei mengakui gembira dengan kemenangan pertamanya itu biarpun dia berdepan masalah pada set pertama perlawanan.
“Pada set pertama permainan agak roller coaster dan apapun saya sangat gembira kerana menang pada hari ini. Kami lakukan dengan cukup baik terutama mengawal emosi permainan kami pada hari ini,” kata Ee Wei.
Tang Jie-Ee Wei yang kali pertama melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik dijadual menentang gandingan No. 30 dunia Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai untuk aksi kedua kumpulan esok.
Selepas itu mereka akan berdepan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping. Sekiranya Tang Jie-Ee Wei menumbangkan lawan dari AS itu mereka akan melangkah ke peringkat suku akhir. -KOSMO! ONLINE