fbpx

Olimpik Paris: Kanada nafi guna taktik kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANADA meraih kemenangan ke atas New Zealand, namun ia dibayangi skandal penipuan kerana mengintip sesi latihan pasukan lawan. - AFP

PARIS – Pemain pertahanan Kanada, Vanessa Gilles percaya pasukannya tidak menggunakan sebarang taktik kotor biarpun timbul tuduhan mereka melakukan intipan sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas New Zealand pada aksi bola sepak wanita di temasya Olimpik Paris.

Skandal berkenaan menyaksikan pembantu jurulatih, Jasmine Mander dan juru analisis pasukan, Joey Lombardi telah dihantar pulang dan tidak dibenarkan menyertai temasya kali ini.

Lombardi turut dikenakan hukuman penjara lapan bulan kerana didakwa menggunakan drone untuk mengintip sesi latihan pasukan New Zealand yang berlangsung di Saint-Etienne menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga telah membuka kertas siasatan.

“Sejujurnya ia tidak mudah. Terlalu banyak emosi dalam pasukan ini, kekecewaan dan rasa malu. Namun, ia tidak akan membuatkan kami rasa rendah diri dan membantutkan hasrat kami membuktikan bahawa Kanada adalah antara pencabar pada Olimpik kali ini.

“Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan adil. Kami tidak melakukan penipuan, ia sangat sukar, tetapi kami tahu bagaimana untuk menyatukan semula pasukan ini,” katanya.

Kanada turun pada temasya kali ini untuk mempertahankan kejuaraan pingat emas yang dimenangi ketika edisi di Tokyo tiga tahun lalu selepas berjaya menundukkan Sweden pada perlawanan akhir.

“Ia bergantung kepada kami untuk memastikan pasukan ini kuat. Kami tidak boleh membiarkan apa yang dibincangkan di media sosial mengganggu fokus kami dan kami telah membuktikannya sebelum ini,” jelasnya.

Insiden berkenaan juga menyaksikan jurulatih mereka, Bev Priestman tidak berada di garisan teknikal pada perlawanan menentang New Zealand, namun dijangka kembali pada aksi kedua menentang Perancis nanti. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI