fbpx

Olimpik Paris : Aaron-Wooi Yik ‘mandi peluh’ sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU lelaki negara, Aaron-Wooi Yik bergelut sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan No. 18 dunia, Sean Vendy-Ben Lane dari Great Britain 19-21, 21-16, 21-11. -BAM

KUALA LUMPUR – Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bermandi peluh sewaktu memulakan aksi pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 selepas bergelut untuk menumbangkan gandingan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy dalam perlawanan Kumpulan A sebentar tadi.

Atas kertas, Aaron-Wooi Yik dilihat tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan pertama itu, namun sebaliknya berlaku apabila dilihat cemas selepas gagal mengekang asakan pasangan ke-18 dunia itu sebelum tewas 19-21 di set pertama perlawanan.

Tersentak dengan keputusan tersebut, pasangan No. 5 dunia itu mengatur perlawanan yang lebih sempurna sebelum berjaya bangkit mengatasi lawannya itu menerusi keputusan 21-16 sekali gus mengheret ke rubber set sebelum menang 21-11.

“Benar ini adalah perlawanan yang sukar bagi kami tetapi ia adalah permulaan terbaik untuk melakukan persiapan pada aksi seterusnya,” kata Aaron.

Berdasarkan format pertandingan, hanya juara dan naib juara kumpulan akan mara ke suku akhir.

Justeru itu, gandingan negara itu tidak ada pilihan lain kerana mereka harus menumpaskan pemain Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura petang esok untuk mara ke peringkat lapan terbaik sekali gus meneruskan perjuangan bagi memburu emas di Paris.

Sekiranya gagal, mereka harus berdepan gandingan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah bermula langkah kiri apabila gagal mengekang asakan gandingan No. 1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam aksi Kumpulan A.

BEREGU wanita, Pearly Tan-M. Thinaah tewas dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di tangan pasangan No. 1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 17-21, 20-22. -AFP

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain negara itu apabila tidak memberi laluan kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu sebelum tewas 21-17, 22-20 dalam tempoh 53 minit.

Pearly-M. Thinaah perlu segera bangkit pada perlawanan kedua esok apabila mereka selepas ini akan menentang pemain No. 6 dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan wajib untuk menang untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI