MUNCUL membuat persembahan di atas menara paling ikonik di dunia, Menara Eiffel sempena majlis pembukaan temasya sukan Olimpik Paris 2024, diva terkenal antarabangsa, Celine Dion membuatkan jutaan peminatnya menangis.
Penyanyi yang berasal dari Kanada itu telah diberi penghormatan sebagai penutup majlis yang berlangsung selama empat jam itu.
Menyarung busana berwarna putih dari rumah fesyen Dior, penyanyi berusia 56 tahun itu membuat persembahan di aras satu menara Eiffel di bawah gegelung logo Olimpik sambil ditemani pemain piano.
Celine menyampaikan lagu bahasa Perancis, Hymne A L’ Amour nyanyian asal Edith Piaf dengan penuh penghayatan dan bertenaga.
Tidak sukar untuknya menyanyikan lagu bahasa Perancis kerana sebelum ini dia pernah menerbitkan album penuh bahasa Perancis pada tahun 1995 bertajuk D’eux yang menjadi album bahasa Perancis terlaris sepanjang zaman.
Aura dan kredibiliti Celine sebagai penyanyi memang sukar ditandingi. Biarpun pernah menderita sakit sindrom orang kaku sejak Disember 2022, namun Celine masih mampu memukau jutaan peminatnya dengan persembahan vokal yang hebat.
Menerusi tinjauan dalam media sosial, ramai peminatnya dari seluruh dunia terharu dan menangis melihat persembahannya.
“Persembahan Celine Dion adalah momen terbaik sepanjang acara ini. Saya menangis seperti budak kecil,” tulis seorang netizen.
“Persembahan Celine Dion sangat hebat. Sangat bertenaga, berkuasa dan penuh emosi. Persembahan emas setara dengan tarafnya sebagai seorang legenda,” komen seorang lagi netizen.
Biarpun pada mulanya Celine dikhabarkan akan berduet dengan Lady Gaga, tetapi masing-masing muncul membuat persembahan secara solo.
Ini adalah persembahan pertama Celine di acara besar selepas dia berehat panjang akibat mengalami sindrom orang kaku sejak dua tahun lalu.
Difahamkan dia dibayar sebanyak RM9 juta untuk menyampaikan satu lagu di Olimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE