PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO menasihatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya menghormati agama persekutuan negara ini iaitu Islam.
Malah kata Dr. Muhamad Akmal Saleh, majoriti penduduk di negara ini juga adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Jelasnya, polisi yang diwujudkan itu adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.
“Saya juga nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP yang negara ini agama Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Nasihat saya kepada kamu, tolong jangan kurang ajar,” tulisnya pada hantaran di laman Facebook.
Hantaran tersebut adalah sebagai tindak balas terhadap isu kutipan dana pendidikan di sekolah Cina dan Guang Eng yang telah menegur Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, Fadhlina bercakap atas kapasiti sebagai menteri yang menjaga undang-undang yang telah ditetapkan dan juga sebagai seorang menteri Melayu Islam.
Terdahulu, media melaporkan, Guan Eng mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan dia bukan ‘menteri pendidikan Pas’.
“Komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara kutipan dana pendidikan Cina agak keras. Saya harap dia akan mempertimbangkan semula pendiriannya itu. Beliau bukan menteri pendidikan Pas, beliau mewakili Pakatan Harapan, Kerajaan Perpaduan dan seluruh negara,” katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman beralkohol di premis sekolah.
Bagaimanapun, kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE