PETALING JAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan anggota polis yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, semalam kerana membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, akan dikenakan tindakan tahan kerja.
Menurut beliau, pihaknya sudah menerima cadangan daripada Ketua Polis Perak untuk menahan kerja anggota polis terbabit.
“Pihak Bukit Aman menerima cadangan itu untuk menahan kerja anggota polis terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Semalam, Kosmo! melaporkan anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa membunuh Nur Farah, bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.
Suspek ditahan 15 Julai pada hari yang sama mayat Nur Farah Kartini ditemui. – KOSMO! ONLINE.