PETALING JAYA – Harapan skuad bawah 19 (B-19) negara untuk mempertahankan trofi Kejuaraan ASEAN B-19 tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada tuan rumah, Indonesia pada aksi separuh akhir sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya itu, skuad Garuda Muda berjaya meraih gol tunggal perlawanan hasil ledakan Muhammad Alfharezzi Buffon pada minit ke-78.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad remaja Harimau Malaya terpaksa akur apabila dijadualkan bersaing untuk merebut penentan tempat ketiga menentang Australia pada Isnin ini.
Pada satu lagi perlawanan separuh akhir petang tadi, skuad muda Socceroos telah dikejutkan apabila tewas 0-1 kepada Thailand sekali gus menyaksikan Gajah Perang bakal menentang Indonesia di pentas final nanti.
Sebagai rekod, skuad B-19 negara merupakan juara bertahan selepas menewaskan Laos di pentas final edisi 2022. – KOSMO! ONLINE