fbpx

Maut ketika konvoi motosikal di LPT 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

DUNGUN – Keriangan sekumpulan pemuda berkonvoi ketika pulang beriadah di Pantai Kerteh, Kemaman malam tadi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 363, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, mangsa yang terkorban ialah Iqbal Juz Aidil Zaims Sharief, 19.

Rakan mangsa, Muhammad Abdul Hannan Abdul Ghani,19, pula cedera parah pada bahu dan kaki kiri, manakala tiga yang lain iaitu Faris Rahimi Arman, 17, Haziq Izham Arif Rahimi, 19, dan Muhammad Farhan Aqil Zainuddin, 18, cedera ringan.

Rakan-rakan menolak pengusung jenazah Iqbal Nuz Aidil ke Rumah Mayat Hospital Dungun, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian, tujuh motosikal dinaiki Iqbal Juz Aidil dan rakan-rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Marang setelah beriadah di Pantai Kerteh.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang Iqbal Juz Aidil hilang kawalan lalu terjatuh atas lebuh raya.

“Empat rakan yang sedang menunggang motosikal berdekatan mangsa cuba mengelak namun turut terbabas sebelum melanggar Honda Jazz dan Perodua Alza di hadapan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Maizura berkata, kesemua mangsa termasuk Iqbal Juz Aidil yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Dungun.

Iqbal Juz Aidil yang merupakan jurujual bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital itu pada pukul 1 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI