BANGKOK – Satu siasatan forensik menyangkal keterangan berhubung pembunuhan seorang sahabat yang mana mayatnya dicampakkan ke dalam sebuah kolam di wilayah Nakhon Sawan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Suspek telah mengumumkan niat membunuhnya sebulan lebih awal, manakala wanita terbabit menafikan sebarang hubungan romantik dan menegaskan bahawa tidak berlaku cinta tiga segi.
Dalam kes seorang lelaki Thai berusia 54 tahun dikenali sebagai Rung yang membunuh rakannya, Yodrak, 53, dan membuang mayat mangsa di dalam sebuah kolam di Kampung 4, daerah Tha Tako dalam wilayah Nakhon Sawan, motif jenayah dipercayai disebabkan oleh cemburu.
Sebelum kejadian, Yodrak mengunjungi rumah Rung dan cuba menikamnya dengan sebilah pisau. Rung berkata, dia terpaksa mempertahankan diri dengan menggunakan batang kayu yang membawa kepada kematian Yodrak.
Rung kemudian membuang mayat rakannya ke dalam kolam.
Pasukan penyiasat dari Balai Polis Tha Tako mengunjungi kediaman Rung kelmarin.
Laporan autopsi menunjukkan Yodrak meninggal dunia akibat luka tembakan pada dadanya sekali gus bercanggah dengan keterangan Rung.
Selepas menggeledah sekitar sejam, polis menemui sepucuk senapang patah panjang dan senapang pendek bersama sejumlah peluru disembunyikan pada jarak kira-kira 100 meter dari rumah suspek.
Ujian lanjut akan memutuskan sama senjata itu digunakan untuk menembak Yodrak.
Di Wat Don Kha di mana majlis pengebumian Yodrak diadakan, seorang saudara-mara mangsa dikenali sebagai Nun berkata, pemeriksaan hospital mengesahkan Yodrak terbunuh akibat tembakan, dengan empat butir peluru penabur ditemui dalam dadanya.
Nun percaya insiden tembakan itu disengajakan dan bukan perbuatan untuk mempertahankan diri. Katanya, Rung sebelum ini mengugut untuk menembak Yodrak jika mangsa datang ke rumahnya tanpa diundang.
“Perasaan cemburu mereka melibatkan wanita sama adalah benar. Mereka bergaduh mengenainya selama hampir sebulan,” kata Nun.
Malah, Rung telah mengumumkan bahawa dia akan menembak Yodrak.
Wanita yang menjadi punca konflik itu pula menjelaskan bahawa dia tiada hubungan romantik dengan Yodrak dan perasaan cemburu mangsa adalah tidak berasas.
Dia hanya berkomunikasi dengan mangsa sebagai seorang kawan selepas mengenalinya selama tiga bulan dan pada kebanyakan masa, mereka berhubung menerusi telefon.
Menurut wanita berkenaan, dia menegaskan dari awal lagi tidak berminat menjalinkan hubungan romantik dengan mangsa berikutan perbezaan usia yang ketara.
Berkenaan Rung, wanita sama mengesahkan tidak pernah berbual secara empat mata atau memiliki nombor telefon suspek.
Dia berkenalan dengan Rung melalui Yodrak pada satu majlis keagamaan dan bertegas bahawa sikap cemburu Yodrak terhadap Rung adalah tidak berasas.
Wanita itu juga menafikan dakwaan bahawa dia mengambil wang daripada Yodrak.
Katanya, dia menyara kehidupan dengan menguruskan perniagaan kecil dan tidak mengalami sebarang masalah kewangan. – AGENSI