fbpx

Habuan pingat emas Olimpik melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN (depan) menganggap ganjaran lumayan itu memberikan inspirasi kepada atlet untuk membutirkan pingat emas pertama negara. - MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan tiga lagi penaja yang telah menyatakan minat mereka untuk memberikan ganjaran lumayan kepada pemenang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Penaja utama, Yinson Holdings Berhad akan menyumbang sebanyak RM1 juta sementara Matrix Concepts Holdings Berhad dan MJ Health Screening Centre masing-masing memberikan RM500,000 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tajaan sebanyak RM2 juta.

Jumlah tersebut bakal diberikan kepada pemenang pingat emas pertama buat Malaysia dan jika lebih daripada seorang atlet berjaya melakukannya, wang tajaan itu akan dibahagikan sama rata antara mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan terima kasih kepada semua penaja atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap kemampuan atlet-atlet Malaysia.

“Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,” kata Hannah Yeoh menerusi satu kenyataan daripada KBS semalam.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut meluahkan rasa teruja dengan sokongan badan korporat terhadap kontinjen negara.

“Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat. Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara,” kata Hamidin.

Minggu lalu, Top Residency mengumumkan ganjaran RM1 juta dalam bentuk hartanah, manakala Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad, Lim Keng Heng menjanjikan RM1 juta kepada pemain badminton kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program Bakat Badminton SS.

Chery Malaysia yang merupakan pengeluar kereta dari China, juga akan menghadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat pada temasya berprestij berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI