SANDAKAN – Dua beranak direman selama tujuh hari selepas disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 yang didalangi beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di daerah ini.
Perintah reman ke atas ibu dan anak berusia dalam lingkungan 30 dan 50-an itu dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Sandakan pagi tadi.
Menurut sumber, suspek pertama dan anak perempuannya ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
“Mereka dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM 13 kepada pelarian dari Filipina yang berlindung di Sabah disebabkan pergolakan pada awal 1970-an.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan kesalahan itu sejak 2022 melibatkan wang rasuah berjumlah RM20,000,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan dua beranak tersebut.-KOSMO! ONLINE.