PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membantu kira-kira 400 pelajar dalam kalangan keluarga B40 di Beruas, Perak hari ini.
YBR dalam satu kenyataan media berkata, peruntukan yang disalurkan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Beruas itu khusus sebagai bantuan persekolahan tahun ini.
“Usaha ini merupakan tanda kasih sayang YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik dan memberi semangat kepada pelajar-pelajar sekolah untuk mendapatkan keputusan cemerlang serta mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung ibu bapa,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR telah disempurnakan oleh Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad di Dewan Inderawati di Beruas.
Sementara itu, Azhar dalam kenyataan sama berkata, beliau berterima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan oleh YBR dalam membantu golongan kurang bernasib baik khususnya dalam kalangan pelajar di sekitar Beruas.
“Saya berharap YBR akan dapat membantu program-program yang berunsurkan pendidikan dengan lebih banyak terutamanya di sekitar kawasan Perak ini.
“Bantuan seumpama ini amatlah bermakna bagi mereka yang berada di luar kawasan bandar bagi menarik minat pelajar-pelajar untuk hadir ke sekolah,” katanya.-KOSMO! ONLINE