BALIK PULAU – Sebanyak empat buat kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan di lima buah garaj musnah dalam kebakaran di Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
Jurucakap bomba negeri berkata, operasi memadamkan kebakaran tersebut melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau.
Menurutnya, anggaran peratusan kemusnahan kebakaran yang berlaku adalah sebanyak 60 peratus.
“Kebakaran telah memusnahkan empat unit kereta iaitu jenis Toyota Estima, Perodua Viva, Proton Persona, Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.
“Kebakaran telah dapat dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain,” katanya di sini, malam tadi. – KOSMO! ONLINE