fbpx

Young Tigers tumbang di Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD muda negara cuba melakukan kebangkitan di hujung perlawanan tetapi terpaksa akur apabila tewas 2-4 kepada Australia B-21 di Brisbane hari ini. - MHC

SKUAD hoki remaja lelaki negara memulakan perlawanan Siri Jelajah Brisbane dengan langkah kiri apabila tewas 2-4 kepada pasukan Australia bawah 21 tahun (B-21) di Pusat Hoki Queensland State hari ini.

Penolong jurulatih Young Tigers, I. Vikneswaran tetap menganggap anak-anak buahnya beraksi dalam keadaan positif meskipun gagal merekodkan kemenangan ke atas tuan rumah.

“Banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kami tahu Australia adalah salah satu pasukan terbaik di dunia. Tetapi saya rasa pemain-pemain menunjukkan banyak kekuatan dalam perlawanan hari ini.

“Keputusan akhir mungkin tidak memihak kepada Malaysia tetapi usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain memberikan harapan untuk perlawanan seterusnya dalam jelajah ini,” katanya.

Dalam aksi itu, skuad muda negara ketinggalan tiga gol kepada Australia B-21 hasil jaringan padang Jesse seawal minit keenam, Lucas (m-26) dan Duncan (m-44).

Tersentak dengan situasi itu, barisan pemain bangkit menggandakan usaha dan berjaya meraih dua gol pantas dalam tempoh empat minit untuk merapatkan kedudukan 2-3.

Dua gol itu terhasil menerusi jaringan padang Muhammad Danish Aiman Khairil Anwar serta pukulan sudut penalti Mohamad Nor Syakir Hafiz pada minit ke-52 serta 56.

Bagaimanapun, hasrat Young Tigers untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil, sebaliknya membenarkan Australia B-21 meledak jaringan keempat pada minit ke-57 untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 4-2.

Skuad muda negara kendalian S. Ganesan itu akan bermain tiga lagi perlawanan menentang Australia B-21 selepas ini sebelum melengkapkan siri jelajah dengan bertemu Kelab Hoki Queensland pada 1 dan 5 Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI