PUTRAJAYA – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilihat menjadi medium ‘talian hayat’ baharu kepada golongan mahasiswa dalam memperkasa potensi selain mendapatkan pelbagai bantuan termasuk kebajikan serta sosial.
Dalam konteks ini, YPS berperanan mengurus dan menyelaras hal ehwal pemerkasaan merangkumi pelbagai program termasuk aktiviti pembangunan melibatkan lebih 1.2 juta pelajar yang berdaftar bersama KPT.
Pada masa sama, YPS juga memainkan peranan menjaga kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa secara bersepadu, khususnya dalam konteks penjanaan dan penyaluran dana bantuan, sekali gus berupaya melahirkan mahasiswa holistik.
Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Hirman Awang berkata, antara objektif utama penubuhan Yayasan Perkasa Siswa ialah menyatukan semua urusan berkaitan pemerkasaan, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di peringkat nasional menerusi satu badan khusus.
“Selain itu, YPS juga mengurus dan menyelaras inisiatif pemerkasaan serta aktiviti berunsur kebajikan dan kesejahteraan daripada kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan sebagainya secara lebih teratur,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama media di KPT, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai hubungan antara YPS dan institut pengajian tinggi dalam konteks penyaluran bantuan dan inisiatif, Hirman berkata, IPT seluruh negara disifatkan sebagai rakan strategik dalam mencapai matlamat ditetapkan.
Katanya, dalam erti kata lain, bantuan yang dipohon mahasiswa dan IPT akan disalurkan secara holistik tanpa mengenal perbezaan agama serta bangsa.
“Selain membuat hubungan langsung dengan golongan mahasiswa, YPS turut menjalinkan kerjasama erat dengan semua bahagian hal ehwal pelajar di universiti awam, universiti swasta, politeknik serta kolej komuniti.
“Jalinan kerjasama itu bagi membolehkan laporan berkaitan bencana, kematian ataupun kecederaan yang dialami pelajar dapat disalurkan kepada YPS bagi urusan penyaluran bantuan,” ujarnya.
Jelas beliau, sebelum ini, sekiranya berlaku perkara tidak diingini, bantuan hanya disalurkan di peringkat universiti sahaja berikutan tiada platform sedemikian di peringkat KPT.
“Namun, selepas melalui penjenamaan semula pada 2023, YPS mempunyai kapasiti dana lebih besar, seterusnya memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa dengan lebih cepat.
“Saya amat berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi selaku Pengerusi YPS yang telah meluluskan manfaat yang menyokong pemerkasaan mahasiswa,” ujarnya.
Selain itu juga, Pengurusan Tertinggi KPT iaitu Ketua Setiausaha KPT dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi serta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang turut bertindak sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPS sangat komited dalam memastikan YPS kekal memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kebajikan mahasiswa dalam negara.
Mengulas lanjut, Hirman berkata, peranan YPS sebagai ‘key player’ kepada mahasiswa turut menggariskan beberapa kluster dalam membantu kumpulan itu melibatkan aspek kepimpinan, pengantarabangsaan, keusahawanan serta kesukarelawan.
Selain itu, fokus turut diberikan kepada aspek khidmat komuniti seperti perkhidmatan pembelajaran dan perkongsian ilmu dalam usaha merealisasikan objektif pemerkasaan mahasiswa.
“Selain itu, yayasan juga sentiasa menjaga kebajikan pelajar dengan menawarkan sumbangan dalam pelbagai bentuk melalui sembilan kluster yang telah ditetapkan.
“Ia melibatkan bantuan seperti Bantuan Khas Bencana, Bantuan Kemalangan, Bantuan Perubatan, Khairat Kematian, Bantuan Pendidikan serta Bantuan Kewangan Secara One-Off,” jelasnya.
Antara bantuan lain yang turut ditawarkan termasuklah Bantuan Care4U, Bantuan Care4OKU serta Bantuan Food@Campus, di mana sejumlah RM4 juta telah diperuntukkan menerusi inisiatif yang dilaksanakan YPS antara tahun 2021 hingga 2024.
“Sebenarnya, pihak IPT begitu gembira apabila mengetahui ada badan khusus dapat membantu pelajar mereka yang mana permohonan bantuan kemalangan paling kerap kita terima.
“Menariknya, untuk bantuan kemalangan, Lembaga Pemegang Amanah telah membuat keputusan di mana minimum sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada pelajar terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, Hirman turut menyeru sebarang kerjasama daripada mana-mana pihak yang mahu terlibat dalam pembangunan serta pemerkasaan mahasiswa di Malaysia.
“Jadi, kita menjemput pihak agensi dan rakan korporat untuk sama-sama terlibat memandangkan kita tahu sumber yang ada di yayasan agak terhad.
“Jika kita mempunyai ramai rakan kerjasama, maka lebih banyak pelajar akan mendapat manfaat memandangkan kita mempunyai kira-kira 1.2 juta mahasiswa yang berdaftar dengan KPT,” ujarnya.