fbpx

[VIDEO] Ambil iktibar apa yang terjadi di UPNM – Tunku Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

PETALING JAYA – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihatkan semua penuntut universiti supaya mengambil iktibar terhadap kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tujuh tahun lalu sehingga pelakunya ke tali gantung.

Nasihat Tunku Azizah itu diutuskan ketika berangkat bercemar duli ke Majlis Bai’ah atau Lafaz Ikrar Pelajar Baharu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang di sini hari ini.

“Saya mengambil kesempatan untuk menasihatkan semua anak-anak yang baru masuk ini kerana baru-baru ini anda semua telah baca dalam surat khabar mengenai apa yang telah terjadi tujuh tahun lalu di UPNM, jadi saya harap ambillah iktibar apa yang telah terjadi.

“Kerana sia-sia sahaja awak masuk ke universiti dan selepas itu ke tali gantung kerana tidak fikir apa yang awak buat itu akan memusnahkan diri awak sendiri,” titah baginda yang dikongsi di laman Instagram.

Pada majlis itu juga, Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seramai 5,066 pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi pengajian 2024/2025 di dua kampus Pusat Asasi UIAM iaitu di Gambang dan Kuantan.

Selasa lalu Kosmo! melaporkan, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan Osman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI