PARIS – Pemanah Korea Selatan, Lim Sihyeon mencipta sensasi apabila menjadi atlet pertama memecahkan rekod dunia di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet berusia 21 tahun itu berjaya mengumpul 694 mata untuk mendahului sesi pertama pusingan kelayakan recurve wanita yang berlangsung di Invalides, Paris semalam.
Ia sekali gus memecahkan rekod dunia milik rakan sepasukannya, Kang Chaeyoung yang mencatat 692 mata ketika Kejohanan Memanah Dunia di ‘s-Hertogenbosch, Belanda pada 2019.
“Ini adalah Olimpik pertama saya, jadi saya mahu berikan segala-galanya. Memang saya bersedia untuk melakukannya (rekod dunia), tetapi saya cuba tenang dan menikmati sahaja kerana percaya keputusan akan datang sendiri,” kata Sihyeon.
Bukan itu sahaja, markah diraihnya kelmarin turut memecahkan rekod Olimpik dicipta oleh seorang lagi pemanah Korea Selatan, An San yang mengumpul 680 pada edisi Tokyo 2020.
Pemanah dari Gangneung itu percaya dia mampu memberikan prestasi yang lebih baik selepas ini dalam usahanya memenangi pingat emas individu dan berpasukan.
“Pusingan kelayakan ini adalah permulaan kepada segalanya. Saya memilih untuk melepasinya dengan penuh yakin daripada saya membenarkan tekanan mempengaruhi prestasi sendiri,” jelas Sihyeon.
Kedudukan kedua pada pusingan recurve kelmarin menjadi milik rakan senegaranya, Nam Suhyeon dengan 688 mata, manakala atlet China, Yang Xiaolei di tempat ketiga menerusi 673 markah. – AGENSI