fbpx

Norjuma bergari ke mahkamah, majistret beri amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norjuma ketika hadir di lobi kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 27 Jun lepas. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Selepas dikeluarkan empat waran tangkap, usahawan tudung terkenal, Norjuma Habib Mohamed hari ini hadir ke mahkamah dengan tangan bergari.

Tangan bekas pengacara televisyen itu digari sepanjang prosiding mahkamah dan hanya dibuka ketika wanita itu hendak membuat catatan.

Pada 27 Jun lalu, empat Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Norjuma disebabkan dia tidak hadir pada prosiding membabitkan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat.

Lima hari selepas itu, Norjuma muncul di Kota Bharu, Kelantan untuk pembukaan hotel miliknya.

Pada prosiding hari ini, dua Mahkamah Majistret di sini memberi amaran kepada wanita itu selepas tidak berpuas hati dengan alasan diberikan Norjuma mengenai ketidakhadiran menghadapi pertuduhan.

Wanita itu menjelaskan, dia tidak tahu mahkamah mana yang perlu dituju kerana tidak dimaklumkan peguam.

“Mohon maaf puan, saya pergi kaunter Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan maklumat terperinci, kerana saya tidak mengetahui kamar mahkamah berapa, di mana dan apa yang berlaku kerana peguam saya tidak hadir,” katanya tanpa diwakili peguam dan tanpa kehadiran penjamin hari ini.

Bagaimanapun, Majistret Noor Elynna Hanim Abd. Halim tidak menerima alasan tersebut.

Beliau kemudian menaikkan jumlah jaminan daripada RM1,000 kepada RM1,500 dan membatalkan waran tangkap terhadap Norjuma.

“Anggap ini sebagai amaran,” kata Noor Elynna.

Norjuma turut memberi alasan sama kepada Majistret Illi Marisqa Khalizan atas ketidakhadirannya pada tarikh terdahulu.

Illi Marisqa turut tidak berpuas hati dengan alasan itu kemudian menaikkan jaminan daripada kepada RM2,000 sebelum membatalkan waran tangkap.

“Ini amaran terakhir. Anda perlu pastikan yang tarikh-tarikh selepas ini anda hadir. Jika tidak, waran tangkap akan dikeluarkan atas anda. Anda juga mesti pastikan tarikh dan mahkamah mana yang anda mesti hadir,” kata Illi Marisqa.

Sementara itu, dalam prosiding di dua lagi mahkamah, Majistret Fatin Dayana Jalil dan Nurul Izzah Shaharuddin turut membatalkan waran tangkap dikeluarkan kepada Norjuma sebelum ini.

Keempat-empat Mahkamah Majistret itu menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Harvind, Anis Wahidah Mohamad, Sheryn Yong Shi Yee dan Hamizah Hisan.

Pada 25 April lalu, Norjuma mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat.

Mengikut pertuduhan pertama, Norjuma didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada pukul 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Mengikut pertuduhan kedua, Norjuma didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram, di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara di sini pada pukul 3 petang, 29 Mac 2018.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada pukul 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi kes mengkhianati, wanita itu didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI