BANGKOK – Seorang model wanita berusia 24 tahun dari Hong Kong ditemui mati akibat ditikam di kediamannya di Bangkok, lapor saluran berita Thaiger semalam.
Gwendoline Cretton yang juga pemegang passport Switzerland, ditemui tidak bernyawa pada 18 Julai lalu selepas jirannya terdengar suara jeritan sekitar pukul 6.15 petang (waktu tempatan).
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dibawa keluar dari apartmen berkenaan oleh teman lelakinya, yang dikenali sebagai Wai dan dua lelaki lain.
Rakaman juga menunjukkan kereta milik Wai yang terletak berhampiran kediaman mangsa sebelum kejadian.
Menurut polis, mangsa kali terakhir dilihat membawa anjingnya berjalan sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan) pada hari yang sama.
Polis Thai menahan tiga suspek termasuk Wai, yang mendakwa bahawa mangsa membunuh diri.
Agensi model CalCarries International Management mengesahkan bahawa mangsa sudah bekerja di syarikat itu selama bertahun-tahun dan kontraknya tamat pada tahun ini.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat menghubungi mangsa untuk mendapatkan pengesahan kerana dia tidak lagi bekerja untuk mereka.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Thailand menyatakan bahawa mereka masih tidak menerima sebarang permintaan untuk bantuan.
Namun, jabatan itu sedang berhubung rapat dengan Pejabat Pesuruhjaya Kementerian Luar China dan Kedutaan China di Thailand untuk memantau keadaan. – AGENSI