ISKANDAR PUTERI – Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam tadi dicemari insiden kontroversi setelah pemain pertahanan TFC dilayangkan kad merah pada babak pertama.
Layangan kad merah oleh pengadil, Fitri Maskon terhadap Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menyaksikan skuad Penyu terpaksa dengan 10 pemain bagi tempoh 60 minit permainan.
Gol yang diburu pasukan tuan rumah hadir seawal minit keenam apabila Heberty Fernandes yang mendapat umpanan Arif Aiman Hanapi melepaskan rembatan lencong yang gagal diselamatkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva hampir menambah jaringan pada minit ke-26 bagaimanapun tandukan yang dilakukan tepat ke arah penjaga gol lawan.
Pada minit ke-30, insiden kontroversi berlaku apabila Bergson gagal menyambut hantaran lintang Arif Aiman setelah ditolak Muhammad Ubaidullah.
Pengadil perlawanan bukan sahaja menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah malah melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan itu setelah membuat pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR).
Penyerang kelahiran Brazil itu tidak berdepan tugas sukar menyusahkan sepakan penalti itu bagi meletakkan JDT selesa di hadapan.
Bergson hampir menambah jaringan peribadi pada penghujung babak pertama namun sepakan voli yang dilakukan di dalam kotak penalti sedikit tersasar.
Walaupun tempang setelah beraksi dengan 10 pemain, anak buah Tomislav Steinbruckner tetap melawan dan elakukan serangan ke arah kubu lawan namun tidak ada percubaan berbahaya mampu dicipta.
Pada minit ke-64, SSI bergema sekali lagi apabila Bergson meledak gol ketiga pasukan setelah memanfaatkan hantaran lintang Juan Muniz dengan melepaskan tandukan rendah yang gagal diselamatkan penjaga gawang TFC.
Bergson menambah derita buat pasukan pelawat apabila melengkapkan hatrik pada perlawanan itu dengan meledak gol keempat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan mengutip 18 mata daripada enam perlawanan. – KOSMO! ONLINE