fbpx

KKM buka 3,950 pengambilan pegawai perubatan, pergigian, farmasi kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat pengambilan sebanyak 3,950 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi lantikan kontrak (interim).

KKM dalam kenyataan memaklumkan, mana-mana calon berkelayakan boleh memohon menerusi iklan dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 18 hingga 31 Julai ini.

Katanya, pengambilan ini meliputi 3,200 pegawai perubatan, pegawai pergigian (350) dan pegawai farmasi (400) serta baki calon yang memenuhi syarat lantikan mengikut skim perkhidmatan akan dijadikan sebagai calon simpanan.

“Tawaran ini terbuka kepada calon yang telah dilantik kontrak (contract of service) mengikut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016 sama ada sedang berkhidmat atau tidak lagi berkhidmat di KKM.

“Iklan pengambilan SPA ini selari dengan keputusan kerajaan berhubung pelantikan secara kontrak (interim) mulai 1 Februari lalu hingga suatu kaedah lantikan tetap baharu diperkenalkan,” katanya hari ini.

Menurutnya, kategori calon yang layak memohon jawatan berkenaan adalah mereka yang sedang berkhidmat di KKM, telah berkhidmat hingga tempoh maksimum kontrak tujuh tahun bagi pegawai perubatan dan maksimum lima tahun bagi pegawai pergigian serta pegawai farmasi.

“Selain itu, calon yang telah ditamatkan perkhidmatan bukan disebabkan kesalahan tatatertib, telah menolak tawaran penyambungan kontrak baharu, telah menolak tawaran pelantikan tetap atau yang telah meletak jawatan,” ujarnya.

Calon yang berminat dan layak disarankan untuk membuat permohonan menerusi portal SPA9 iaitu https://spa9.spa.gov.my dan mengisi kesemua maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan betul sebelum atau pada tarikh tutup iklan.

Ujarnya, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak (interim) ini berpeluang untuk dilantik secara tetap tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI