KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil beberapa langkah untuk bantu rakyat secara langsung dalam mendepani masalah kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan positif pada suku kedua tahun ini dan kadar inflasi serta pengangguran yang rendah, tetapi ia tidak mencerminkan masalah rakyat menemui jalan penyelesaian.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita lihat ringgit menguat walaupun diserang bertubi-tubi.
“Pertumbuhan suku tahun kedua adalah 5.8 peratus itu sangat membanggakan. Kita dapat kawal inflasi kepada dua peratus. Dapat kawal pengangguran kepada tiga peratus. Itu angka-angka yang baik.
“Adakah saya berpuas hati? Saya tidak berpuas hati kerana kos sara hidup di sesetengah tempat yang masih menekan kehidupan rakyat,” katanya pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup dengan membantu rakyat mengimbangi impak kenaikan harga barang seiring petunjuk positif pertumbuhan ekonomi negara pada ketika ini.
“Antara usaha itu adalah sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pengumuman sistem saraan baru perkhimatan awam yang bakal menyaksikan kenaikan gaji penjawat awam.
“Sumbangan STR telah memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.
“Jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji pada bulan Oktober ini.
“Saya akan umumkan sistem saraan baharu perkhimatan awam dengan menaikkan gaji penjawat awam. Ia adalah kenaikan paling tinggi dalam sejarah,” katanya. – KOSMO! ONLINE