fbpx

Kerajaan perkenal CRESS, tingkat akses syarikat korporat kepada elektrik hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkenalkan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bermula September ini bagi meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan memaklumkan, melalui konsep akses grid terbuka, pihak ketiga (TPA) boleh membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik melalui sistem rangkaian grid dengan caj akses sistem yang ditetapkan.

Jelas Petra, pengenalan program CRESS ini ialah sebahagian daripada usaha Petra di bawah Inisiatif GREENS Madani atau Government Renewable Energy Enhancement for Niche Sector bertujuan menyokong hasrat peralihan tenaga sektor berkeutamaan tinggi.

“Syarikat korporat di Malaysia perlu diberi pilihan untuk mengurangkan jejak karbon melalui bekalan elektrik hijau.

“Buat masa ini, syarikat boleh memenuhi komitmen elektrik hijau dengan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Self Consumption (SelCo), membeli sijil Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS) atau melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET),” katanya hari ini.

Petra berkata, Pada 31 Ogos 2022, kerajaan juga telah memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk membantu syarikat mencapai komitmen ESG melalui pembelian elektrik hijau secara maya.

“Di bawah program CRESS, penjana TBB dan syarikat korporat yang layak boleh membuat aturan bekalan elektrik hijau dengan terma yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada.

“Syarikat korporat boleh mendapatkan elektrik TBB secara langsung daripada penjana TBB TPA yang dikenal pasti dan penjana TBB TPA juga boleh membekalkan elektrik TBB kepada pengguna korporat melalui rangkaian grid TNB dengan menyertai pasaran NEDA,” ujarnya.

Tambah Petra, pelaksanaan CRESS akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga melalui Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), manakala Single Buyer (SB) dan Grid System Operator (GSO) akan berperanan sebagai pengendali pasaran dan sistem.

“Kedua-dua entiti ini akan mengendalikan aspek penyelarasan access and dispatch dalam sistem bekalan elektrik berdasarkan ketetapan regulatori yang dipersetujui kerajaan.

“TNB pula akan terus memainkan peranan sebagai pembekal elektrik utiliti yang akan menyalurkan bekalan elektrik yang telah dijana dan diperlukan kepada pengguna secara konsisten di dalam dan di luar tempoh waktu pembekalan elektrik hijau,” jelasnya.

Petra memberitahu, beberapa siri penerangan berkaitan prosedur dan garis panduan kepada pemain industri akan diadakan oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Pelaksanaan Program CRESS di bawah Inisiatif GREENS Madani selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB daripada 26 peratus (10.6GW) kini kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

“Ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI