PETALING JAYA – Kerja-kerja memadamkan kebakaran kecil yang berlaku di laluan transit aliran ringan (LRT) di landasan Stesen Kelana Jaya telah berjaya diselesaikan.
Rapid KL melalui satu kenyataan di media sosial rasminya berkata, perkhidmatan tren alternatif yang telah disediakan beberapa jam lalu telah ditamatkan.
“Jadual perjalanan telah diselaraskan dan perkhidmatan tren akan beroperasi normal sebentar lagi. Kami memohon maaf atas kesulitan. Terima kasih atas kesabaran anda,” tulisnya sebentar tadi.
Terdahulu, Rapid KL telah memaklumkan satu kebakaran kecil telah berlaku di stesen laluan tersebut sekitar pukul 3 petang tadi sehingga menyebabkan perkhidmatan tren alternatif diaktifkan.
Tren perantara tersebut telah beroperasi menggunakan satu platform (Platform 2) iaitu tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Ara Damansara., tren perantara di antara Ara Damansara dan Kelana Jaya (hanya di Platform 2).
Serta tren perantara di antara Kelana Jaya dan Asia Jaya Jaya (hanya di Platform 2) dan tren dari Gombak akan berpatah balik di Asia Jaya.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE.