SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta semua pemimpin supaya mengekalkan keamanan dengan berusaha menyatukan rakyat bukannya memecahbelahkannya.
Titah baginda, provokasi, budaya memfitnah, membenci dan menghasut hendaklah dijauhi serta dihindari sebaliknya bersama-sama berusaha keras menyemai semangat hormat-menghormati, bertolak-ansur dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan dan keamanan negara.
Baginda kecewa kerana ada dalam kalangan masyarakat lupa dan tidak mengambil peduli akan nikmat keamanan yang dikecapi sekarang adalah hasil jerih dan kepayahan pahlawan negara yang sanggup berkorban nyawa sehingga ke titisan darah terakhir.
“Jika kita lupa dan tidak menghargai akan pengorbanan pahlawan negara, maka sejarah dijajah dan dihina berulang semula kerana kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedaulatan negara dan tidak menyayangi negara sepenuh hati.
“Kita sama-sama bertanggungjawab mempertahankan negara daripada diceroboh oleh mana-mana pihak yang berniat menghancurkan negara,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Baginda turut mengingatkan orang ramai agar menjauhi sikap mementingkan diri dengan menuruti hawa nafsu yang tamak dengan mngumpul harta kekayaan sendiri sehingga lalai dalam mempertahankan negara dan akhirnya negara ditadbir pihak musuh.
“Hindarilah sikap individualistik yang mengikut nafsu dengki dengan berebut jawatan dan merampas hak orang lain untuk kepuasan diri semata-mata akhirnya leka tentang musuh di depan mata.
“Pejuang dahulu tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Mereka adalah pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman musuh. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dengan kemerdekaan negara yang diwarisi sehingga kini,” titahnya.
Sultan Sharafuddin menegaskan, negara memerlukan pahlawan yang semangat dan pemikiran baru yang dapat mengekalkan keamanan negara.
“Negara perlu pahlawan hari ini yang bertaqwa, beriman dan bertawakal. Pahlawan hari ini hendaklah berkeyakinan sama dengan pahlawan silam bahawa mempertahankan kedaulatan negara bukan kerana kebolehan dan kehandalan sahaja tetapi kerana bantuan dan pertolongan Allah SWT.
“Beta turut mengingatkan juga rakyat tidak boleh leka dengan hiburan yang melalaikan, fahaman sesat dan gaya hidup bebas sehingga lupa kepada tanggungjawab bersama mempertahankan negara,” titahnya. – KOSMO! ONLINE