fbpx

Fahami masalah sembelit kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK mungkin boleh mendapat sembelit semasa tempoh latihan menggunakan tandas. – Gambar hiasan

SETIAP ibu bapa pasti pernah berhadapan dengan situasi di mana anak mereka mengalami masalah sembelit.

Hal tersebut boleh memberikan kerisauan buat ibu bapa.

Masalah sembelit atau functional constipation (FC) merupakan salah satu gangguan gastrousus yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

FC didefinisikan sebagai kesukaran membuang air besar yang disebabkan oleh punca lain selain organik.

Pakar Perunding Kanak- Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Simon Foo Hee Wei berkata, penyakit itu satu kelaziman di seluruh dunia.

Ujarnya, sebanyak 95 peratus kes sembelit kanak-kanak sihat yang berumur setahun dan ke atas.

Menurutnya, biarpun sembelit sering dianggap sebagai masalah kecil, namun FC yang tidak dirawat boleh membawa kepada pelbagai komplikasi gastrousus yang serius seperti koyakan pada kolon dan jangkitan saluran kencing.

“Komplikasi ini boleh memberikan kesan terhadap tumbesaran dan kualiti hidup kanak-kanak.

“Oleh itu, mengenali dan mempelajari cara terbaik untuk mengurus FC adalah penting.

“Ia bagi memastikan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak,” katanya.

Walaupun terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada FC, namun ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak terdedah mendapat masalah sembelit semasa fasa awal kehidupan mereka. Fasa awal itu adalah ketika tempoh pengenalan makanan pepejal iaitu pada usia enam bulan hingga setahun.

DR. SIMON

Pada permulaan latihan menggunakan tandas iaitu dua hingga tiga tahun dan ketika memulakan tadika (pada usia tiga hingga lima tahun).

Mengulas lanjut, Dr. Foo menjelaskan bahawa fasa tersebut merupakan tempoh penting kerana kanak-kanak mungkin boleh mendapat sembelit semasa tempoh latihan menggunakan tandas disebabkan tekanan belajar rutin baharu.

“Selain itu, faktor psikologi seperti tekanan, kebimbangan atau trauma juga boleh mencetuskan masalah sembelit.

“Sebagai contoh, kebimbangan yang datang dengan perubahan persekitaran seperti tandas sekolah tidak bersih boleh menyebabkan kanak-kanak mengelak daripada menggunakan tandas.

“Ini mengakibatkan mereka menahan diri daripada membuang air besar,” jelasnya.

Tambahnya, hal itu boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami sembelit yang semakin teruk serta berada dalam kesakitan dan tekanan.

Sembelit juga boleh berlaku disebabkan kekurangan serat dan cecair dalam diet atau masalah intoleransi laktosa terhadap susu lembu.

Peralihan daripada susu ibu kepada susu lembu boleh menyebabkan masalah sembelit pada sesetengah bayi yang seterusnya boleh menyebabkan rekahan dubur atau anal fissure akibat najis besar atau keras.

Untuk mengenal pasti sama ada anak anda mempunyai intoleransi terhadap susu lembu atau apa-apa alahan makanan lain, doktor akan mengesyorkan kaedah penyingkiran alergen selama dua minggu. Ibu bapa tidak memasukkan alergen ataupun makanan yang disyaki ke dalam rutin diet si manja.

Sekiranya keadaan anak bertambah baik, ia menunjukkan bahawa anak tersebut mempunyai intoleransi terhadap alergen tersebut.

Sembelit sekali-sekala adalah perkara biasa dan tidak akan menimbulkan kebimbangan.

Namun, para ibu bapa harus berwaspada dengan tanda amaran FC seperti sakit perut dan kembung perut berterusan, kurang selera makan, penurunan berat badan atau ketidakupayaan untuk mengawal kencing.

Dr. Simon menerangkan, memahami sembelit dan punca penyebabnya adalah langkah pertama untuk ibu bapa menguruskan keadaan dengan berkesan.

“Ibu bapa dan pengasuh harus mengekalkan serta memastikan komunikasi secara terbuka bukan sahaja dengan pakar perunding kanak-kanak, malah bersama anak.

“Ini boleh memupuk pemahaman yang lebih baik tentang keadaan kanak-kanak dan sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi,” katanya.

Komunikasi sedemikian amat dihargai oleh pakar perubatan profesional untuk menawarkan nasihat yang tepat dan plan rawatan bersesuaian dengan keperluan setiap kanak-kanak.

Pemantauan simptom juga menjadi lebih berkesan apabila semua pihak mempunyai maklumat yang mencukupi dan bersifat proaktif.

Walaupun spesifikasi penyakit sembelit mungkin berbeza mengikut kes, namun Dr. Simon mencadangkan untuk mengikut garis panduan umum.

“Ini untuk memastikan anak-anak mempunyai kekerapan membuang air besar sekurang- kurangnya tiga kali seminggu, tanpa mengalami proses membuang air besar,” jelasnya.

Sementara itu, ahli dietetik di SMCV, Jillian Tan Foong Yinn, menekankan peranan diet seimbang untuk menggalakkan pergerakan usus.

“Makanan kaya serat seperti pisang, betik serta lobak merah kukus atau kentang bukan sahaja menggalakkan pergerakan usus yang kerap, malah meningkatkan kesihatan usus.

“Di samping serat, pengambilan air yang mencukupi berdasarkan umur adalah sangat penting,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI