SEBERANG PERAI – Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu menjual emas dan telefon pintar jenis iPhone 15 Pro Max berjumlah RM8,840 antara Februari hingga Julai lalu.
Tertuduh, K. Brenda Priya,24, dan Aneta Yvette Peter Edward,25, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd. Mazlan.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, kedua-dua wanita itu secara bersama didakwa memperdaya tiga individu supaya menyerahkan wang berjumlah RM8,840 bagi urusan penjualan emas dianggarkan seberat 116 gram (g) dan sebuah telefon pintar jenis iPhone 15 Pro Max.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 5 Februari hingga 9 Julai lepas.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam yang dikenali sebagai Steven.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Sementara itu dalam prosiding sama, Brenda Priya turut berdepan dua lagi pertuduhan berhubung penjualan emas dan iPhone 15 Pro Max yang menyebabkan mangsa menanggung kerugian sebanyak RM7,190. Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah sama antara 28 Februari hingga 19 Jun 2024.
Walau bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,00 untuk kedua-dua pertuduhan serta menetapkan tarikh sama bagi serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE