SKUAD hoki senior wanita negara sedang mempersiapkan diri menghadapi Trofi Juara-Juara Asia Wanita (ACT) 2024 penghujung tahun ini dengan menjalani latihan bersama Wales dari 28 Julai hingga 11 Ogos 2024 di Cardiff, United Kingdom (UK).
Latihan itu merangkumi tiga aksi persahabatan dan tiga perlawanan ujian yang mendapat pengesahan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk memperbaiki ranking dunia.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim menyatakan 19 nama terpilih berdasarkan prestasi semasa di mana sembilan daripadanya merupakan pemain remaja kebangsaan berusia 21 tahun ke bawah.
“Untuk siri latihan persahabatan kali ini, kami terpaksa mengetepikan beberapa pemain utama seperti Hanis Nadiah Onn, Siti Zulaikha Husain, Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad dan Nuramirah Shakirah Zulkifli yang masih menjalani proses rehabilitasi akibat kecederaan.
“Ketiadaan beberapa pemain utama memberikan peluang kepada pemain remaja untuk menyerlah dan mengutip pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Siri perlawanan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menunjukkan potensi sebenar yang dimiliki,” jelas Nasihin.
Barisan kejurulatihan turut meluahkan keyakinan gabungan pemain senior dan remaja bakal memberikan saingan kepada Wales kerana intensitinya tetap tinggi meskipun hanya siri latihan persahabatan.
“Pasukan ini telah menunjukkan peningkatan dari segi kecergasan dan teknikal hoki. Kami percaya dengan pendedahan di peringkat antarabangsa, pasukan akan menjadi lebih maju dan mampu menjadi sebuah pasukan yang lebih baik,” tambahnya.
Sebagai rekod, Malaysia menduduki ranking dunia No. 23, manakala Wales berada dua anak tangga di bawah di kedudukan ke-25 dunia. – KOSMO! ONLINE