PETALING JAYA – Selama bertahun-tahun lamanya bapa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak sanggup melihat ikan bawal yang merupakan lauk kegemaran anaknya.
Ibu Allahyarham, Hawa Osman, 59, berkata, ikan bawal goreng menjadi hidangan wajib yang disediakannya kepada Zulfarhan setiap kali pemuda itu pulang bercuti dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Bukan itu sahaja, kongsi Hawa, suaminya, Zulkarnain Idros, 60, juga cuba mengelakkan diri daripada menikmati roti canai atau memasak kerepek pisang yang menjadi kegemaran Allahyarham Zulfarhan.
“Sehingga kini, ayahnya tidak boleh tengok ikan bawal. Saya cakap dengan dia, dah tujuh tahun berlalu. Kasihan adik-adiknya yang nak makan ikan tapi baru-baru ni ayah Allahyarham boleh terima.
“Macam roti canai pun arwah suka. Baru dua tiga tahun (makan). Kerepek pisang pula ayahnya buat sendiri setiap kali raya dan Zulfarhan akan bawa balik ke UPNM sebalang.
“Itupun ayahnya tak nak buat sehingga tahun ini, anak-anak merayu minta buatkan. Jadi tahun ni, baru ayahnya buat,” kongsinya sambil menahan sebak ketika bersiaran di sebuah stesen radio tempatan hari ini.
Kosmo! melaporkan enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE